Pencarum Perkeso boleh tuntut faedah jika jadi mangsa COVID-19

Pencarum Perkeso boleh tuntut faedah jika jadi mangsa COVID-19

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pahang menerima 1,041 kes tuntutan daripada pencarum akibat COVID-19 dan sudah membuat bayaran RM820,603.75 bagi tempoh di antara 1 Januari hingga 31 Julai lalu.

Pengarah Perkeso Pahang, Tarmizi Mukhtar, berkata daripada jumlah itu, 24 kes membabitkan kematian dan bayaran sudah pun diselesaikan. 

“Bagi pencarum yang dijangkiti COVID-19 di tempat kerja, mereka layak mendapat faedah daripada Perkeso manakala bagi kes membabitkan kematian, pencarum yang berusia kurang 60 tahun layak untuk faedah walaupun jangkitan bukan di tempat kerja.

“Bagi kes indeks, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenal pasti punca jangkitan sekali gus menilai kelayakan mereka untuk menerima faedah Perkeso,” katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.

Katanya, dalam tempoh di Januari hingga Julai tahun ini, Perkeso Pahang sudah membuat bayaran faedah berjumlah RM12.9 juta kepada pencarum membabitkan pelbagai kes.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Tarmizi berkata, pekerja domestik diiktiraf sebagai pekerja mengikut Akta Keselamatan Sosial dan Pekerja 1969, bermula 1 Jun tahun ini. 

“Mereka ini adalah pembantu rumah, tukang kebun, pemandu peribadi, tukang masak. Majikan perlu mendaftarkan pekerja ini dengan Perkesa tidak kira sama ada rakyat tempatan atau warga asing,” katanya.