Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Nasib tiga beradik yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 terbela apabila mereka layak menerima pencen daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Bapa mereka, Allahyarham Mohd Fazir Abdul Hamid, 49, yang juga kakitangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) meninggal dunia pada 21 Julai lalu.
Ibu mereka, Allahyarham Hamzan Yusof, 49, pula meninggal dunia akibat kegagalan organ tubuhnya selepas sembuh daripada COVID-19.
Kakak sulung daripada tiga beradik, Farah Shahira, 24, berkata, dia kini menggalas tugas sebagai ketua keluarga menjaga dua adiknya, masing-masing berusia 18 dan 21 tahun.
Menurutnya dia sudah berkahwin dan menetap dengan keluarga mentua tidak jauh dari rumah mereka di Kampung Padang.
“Namun selepas kematian ibu bapa, saya berpindah semula ke rumah keluarga untuk menjaga adik-adik,” katanya ketika ditemui di rumah mereka, di sini, hari ini.
Majlis penyampaian wang pencen dan bantuan khairat daripada Perkeso dan MBK disempurnakan oleh Datuk Bandar MBK, Dato’ Hamdan Hussin dan Pengarah Perkeso, Tarmizi Mukhtar.
Farah berkata, wang pencen dan bantuan khairat yang itu dapat meringankan beban mereka adaik beradik serta berterima kasih kepada pihak terbabit kerana menyegerakannya.
Sementara itu, Tarmizi berkata, hasil siasatan mendapati arwah Mohd Fazir pernah mencarum dengan Perkeso ketika masih berstatus pekerja kontrak di antara 1992 hingga 2003.
“Ini melayakkan waris arwah menerima pencen penakat Perkeso setiap bulan di samping faedah pengurusan jenazah.
“Ketika dalam proses menguruskan faedah terbabit, kami mendapat maklumat isteri arwah yang bekerja di sebuah syarikat swasta juga meninggal dunia dan hasil semakan mendapati waris juga layak menerima faedah sama,” katanya.