JERANTUT: Seorang pemandu jengkaut ditangkap selepas menceroboh Kompartmen 26 Hutan Simpan Jerantut, di sini, semalam.
Serbuan dilakukan Unit Penguat kuasa Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) selepas melakukan risikan dan pemantauan menggunakan imej satelit.
Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad, berkata hasil siasatan, dipercayai kawasan yang diceroboh itu ingin dijadikan ladang kelapa sawit oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, kegiatan berkenaan mengundang kemusnahan secara tidak terkawal selain boleh menyebabkan hakisan berlaku apabila kawasan hutan diteroka.
Katanya, suspek lelaki berusia 43 tahun itu ditahan untuk siasatan dan diambil keterangan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kita bertindak menyita jengkaut dan kenderaan pacuan empat roda yang berada dalam Hutan Simpan Jerantut dan ditempatkan pusat simpanan barangan rampasan JPNP Pejabat Ladang Hutan Kemasul, Temerloh.
“Sekarang ini kita berusaha mengesan individu yang menjadi dalang kegiatan menceroboh kawasan berkenaan dan jika ditangkap, tindakan tegas menantinya,” katanya, di sini hari ini.
Beliau menambah, serbuan turut dibantu kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Jerantut dan mendapati kegiatan berkenaan lebih kepada untuk memperbesarkan kawasan ladang kelapa sawit sedia ada yang diusahakan pihak tertentu. – MOHD IMRAN IZZAD