Penceroboh hutan simpan ‘baham tanah

Penceroboh hutan simpan ‘baham tanah

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

BERA: Pemandu jengkaut diberkas ketika melakukan kerja membersihkan secara haram kawasan Hutan Simpan Purun, di sini, semalam.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad, berkata lelaki berumur 43 tahun itu sebelum ini pernah diberi amaran supaya atau akan dikenakan tindakan undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, individu terbabit seolah-olah ingin mencabar JPNP apabila bertindak berani membersihkan kawasan di Kompatmen 6 di hutan itu menggunakan jengkaut.

Menurutnya, rondaan lima anggota Unit Penguat kuasa (UPK) Pahang Timur diketuai Pengawas Hutan, Mohd Azhar Mudzafar menemui jengkaut terbabit bersama pemandu yang juga penduduk setempat.

“Lelaki berkenaan mendakwa dia hanya bekerja sebagai pemandu jengkaut terbabit dan tidak menyangka aktiviti yang dilakukan satu kesalahan besar,” katanya. 

Beliau berkata, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera bagi kesalahan menceroboh dan membersihkan Hutan Simpan Purun. 

Nor Azirim berkata, lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan polis manakala pihaknya menyita jentera terbabit dan kini ditempatkan di pusat simpanan barang rampasan Pejabat Ladang Hutan Kemasul, Mentakab.