Pendekar kembali dirai di Pahang selepas hampir 20 tahun

Pendekar kembali dirai di Pahang selepas hampir 20 tahun

KUANTAN: Selepas 19 tahun, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Pahang, hari ini kembali menganugerahkan gelaran pendekar kepada guru-guru silat di seluruh Pahang.

Penyampaian selempang kepada 38 guru silat terbabit sebagai simbolik penganugerahan gelaran pendekar, disempurnakan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sudi mencemar duli berangkat ke Majlis Santapan Amal Diraja Pesaka Pahang dan Anugerah Selempang Pendekar Guru-Guru Silat Pahang yang diadakan di Dewan Paya Besar Dato’ Sri Abdul Manan Ismail, di sini.

#kuantan YDP Persatuan Silat Negeri Pahang (Pesaka Pahang), Dato’ Md Sohaimi Mohamed Shah berucap pada Majlis Santapan Amal Diraja Pesaka Pahang dan Anugerah Selempang Pendekar Pahang Guru-Guru Silat Negeri Pahang Darul Makmur 2022 di Dewan Dato’ Sri Abdul Manan Ismail. Gambar oleh Mustaffa Kamal

Turut hadir, YAB Mentei Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin dan Presiden PESAKA Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Dato’ Md Sohaimi Mohamed Shah.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis berakhir, Md Sohaimi berkata, latar belakang setiap penerima diperiksa dan ditapis jawatankuasa khas anugerah berkenaan.

“Dalam Pahang ini ada 125 perguruan silat dan kita memilih 38 orang untuk menerima anugerah pendekar.  

“Ini kali kedua kita mengadakan penganugerahan gelaran pendekar selepas hampir 20 tahun iaitu pada 2003 sempena hari keputeraan Sultan Pahang ketika itu, Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah,” katanya.

Menurutnya, tujuan penganugerahan gelaran pendekar itu ialah untuk memastikan guru-guru silat terbabit bersemangat mengembangkan silat masing-masing dan terus menyemarakkan gelanggang masing-masing. 

“Ia juga untuk memantapkan lagi semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air serta mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Pesan saya kepada semua penerima, teruslah mengajar silat dan jika sudah tidak mampu, biarlah waris mereka teruskan,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN