KUANTAN: Kerajaan negeri akan memperkasakan taraf pendidikan dan ekonomi masyarakat Orang Asli di Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata dua perkara itu menjadi keutamaan dalam membantu masyarakat Orang Asli meningkatkan taraf hidup mereka pada masa depan.
Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri tidak mahu masyarakat Orang Asli tertinggal jauh dengan masyarakat lain.
“Sebab itu fokus kerajaan negeri ialah untuk mempertingkatkan infrastruktur di kawasan Orang Asli. Saya yakin antara lima dan 10 tahun akan datang, taraf ekonomi masyarakat Orang Asli akan berubah,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Program Memperkasakan Kepimpinan Batin-Batin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pahang di sini, malam tadi.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Dato’ Abd Aziz Mat Kiram. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN