Pendidikan sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Pahang 

Pendidikan sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Pahang 

JERANTUT: Kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang memperuntukkan RM91.4 juta untuk tabung pendidikan bagi manfaat 255,951 pelajar di negeri ini.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, RM52 juta disediakan sebagai bantuan pendidikan kepada 61,721 pelajar anak Pahang, tahun lalu. 

“Daripada jumlah itu, RM18.8 juta adalah Biasiswa Sekolah Menengah membabitkan 31,751 penerima manakala RM6.3 juta untuk Biasiswa Sekolah Rendah membabitkan 21,002 penerima. 

“Selain itu, RM3.6 juta lagi disediakan untuk Program Peningkatan Kualiti Pendidikan. Sehingga ini, Yayasan Pahang sudah membelanjakan RM1.34 bilion yang memberi manfaat kepada 1.7 juta anak Pahang,” katanya berucap di majlis Apresiasi Kecemerlangan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Hal Ehwal Murid, di dewan ADTEC, dekat sini, hari ini. 

Beliau berkata, adalah menjadi keutamaan Kerajaan Pahang untuk memastikan kualiti dan standard pendidikan anak negeri ini sentiasa pada tahap yang terbaik. 

Katanya, ini dapat dilihat apabila 2,054 atau 99.13 peratus daripada 2,072 calon mendapat  sekurang-kurangnya satu mata pelajaran lulus penuh.  

“Lebih membanggakan Anugerah Murid Orang Asli Terbaik Kebangsaan datangnya dari Pahang iaitu pelajar SMK Sulaiman, Bentong,” katanya. 

Nora Adila Pahut memperoleh skor PNGK 3.84 (2A dan 2A-) manakala Intan Ayuni Abdul Rahim dari SMK Clifford, Lipis, terpilih calon Terbaik Kebangsaan Kategori B40 dengan memperoleh PNGK 4.0 dan keseluruhan 5 mata pelajarannya adalah A. – MUHAMMAD NAJMIE