Penduduk abadikan nama tokoh kampung  pada jalan.

Penduduk abadikan nama tokoh kampung  pada jalan.

LIPIS: Usaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Damar, Padang Tengku mengabadikan nama tokoh kelahiran kampung berkenaan dan daerah ini pada setiap jalan kampung mendapat perhatian orang ramai terutama penduduk sekitar. 

Ramai yang mengambil kesempatan berkunjung ke kampung itu untuk melihat sendiri keunikan nama jalan di situ yang menggunakan nama tokoh tempatan yang banyak berjasa di daerah ini. 

Pengerusi JPKK Sungai Damar, Idzhar Ghazali, berkata idea itu dilaksanakan bagi membolehkan masyarakat kini mengingati semula tokoh terdahulu.

Katanya, untuk permulaan, JPKK  memilih 11 tokoh tersohor dalam bidang  agama, pendidikan, pentadbiran dan politik untuk dikenang semula dengan meletakkan nama mereka pada beberapa batang jalan di  kampung Sungai Damar.

“JPKK peroleh nama semua tokoh terbabit menerusi maklumat orang tua yang mengetahui mengenai ketokohan mereka. 

“Selepas itu kami pergi berjumpa dengan ahli keluarga tokoh terbbait untuk  mendapat keizinan mengabadikan nama mereka pada nama jalan kampung dan  biasanya nama jalan berdekatan dengan rumah tokoh terbabit pernah tinggal,” katanya. 

Menurutnya, antara nama jalan terbabit ialah Jalan Tok Empat Salleh Kari, Jalan Tok Empat Haji Abu Bakar Mat, Jalan Abu Bakar Awang, Jalan Khatib Haji Long dan Jalan Jalan Imam Sani Saad.

“JPKK di sini akan meneruskan projek menamakan jalan ini untuk menghargai nilai sejarah dan nostalgia bagi penduduk Sungai Damar dan daerah ini,” katanya.

Sementara itu  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Dato’ Mustapa Long, berkata usaha itu membolehkan nilai sejarah terutama berkaitan tokoh di kampung berkenaan terjaga.

“Ia mempunyai nilai sejarah untuk tatapan generasi hari ini dan masa akan datang untuk mengetahui dan berbangga dengan legasi perjuangan semua tokoh terbabit dalam bidang masing-masing,”  katanya. – MUHAMMAD NAJMIE