LIPIS: Kerajaan akan membina jambatan baharu di Jalan Batu 2 (berhadapan Taman Cahaya), di sini, bagi kemudahan penduduk, tahun depan.
Ahli Parlimen Lipis, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, pengesahan untuk membina jambatan bernilai RM3.5 juta sudah dimaklumkan kepada beliau oleh Pejabat Kewangan Negeri Pahang.
Katanya, banjir yang berlaku beberapa tahun lalu sehingga menyebabkan tanah runtuh memaksa laluan itu ditutup untuk keselamatan pengguna.
“Saya meminta untuk dibina jambatan baharu. Ketika ini, saya memberikan cadangan agar JKR (Jabatan Kerja Raya) membina jambatan Bailey sementara menunggu jambatan yang baharu itu siap,” katanya.
Menurutnya, beliau juga sudah menghubungi Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof dan diberi jaminan pembinaan jambatan Bailey ini akan dimulakan segera.
“Saya berharap penduduk dapat bersabar kerana kita akan bina jambatan yang lebih sempurna, kukuh dan lebih baik,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE