Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
PEKAN: “Kejadian hakisan tebing Sungai Pahang baru-baru ini begitu menakutkan apabila sebahagian tanah di hadapan rumah saya runtuh.
“Tangga yang buat menggunakan batang kelapa untuk saya dan suami, Syed Jafari Syed Mohd turun ke sungai, kini kira-kira 10 meter berada dalam sungai,” kata Sharifah Yusnida Syed Ibrahim, 42.
Dia yang menetap di Kampung Pulau Manis, di sini berkata, hujan lebat berterusan selama tiga hari pada bulan lalu menjadi faktor utama berlakunya hakisan tebing Sungai Pahang dengan serius.
Katanya, banjir besar daerah ini akhir tahun lalu tidak menyebabkan hakisan yang terlalu membimbangkan berbanding apa yang sedang berlaku kini.
“Tidak mustahil suatu hari nanti rumah saya turut berada dalam Sungai Pahang disebabkan hakisan dan episod hakisan sukar untuk dihalang.
“Mereka yang menetap hampir Sungai Pahang kini terdedah dengan kejadian hakisan tebing sungai yang membimbangkan. Saya hanya mampu berdoa episod yang lebih buruk tidak berlaku,” katanya yang lebih lima tahun menetap di situ.
Bagi Syed Jafari, 49 yang bekerja sebagai nelayan sungai, dia terpaksa memanjat dua tangga untuk turun ke sungai berikutan kejadian hakisan tebing sungai yang berlaku.
“Penghulu sudah sedia maklum dengan apa yang berlaku. Sebelum ini dia datang melihat kejadian yang berlaku selepas dimaklumkan.
“Saya dan isteri terpaksa berhati-hati setiap kali ke sungai untuk menangkap ikan dan melihat sangkar dan tidak mustahil hakisan akan terus berlaku selepas ini,” katanya.
Beliau berkata, sebelum ini banyak pokok di tepi Sungai Pahang namun kini semua berada dalam sungai disebabkan hakisan.