ROMPIN: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman mahu kerajaan negeri lebih fokus kepada pembangunan setempat, peningkatan ekonomi, kemudahan awam dan peluang pekerjaan kepada golongan muda.
Penduduk, Noordelaila Daud, 60, berkata, kerajaan negeri perlu pertimbangkan banyak perkara jika mahu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di DUN Tioman terus meningkat.
“Contohnya, pejabat Tabung Haji (TH) sudah tamatkan operasinya di sini menyebabkan kami terpaksa ke Muadzam Shah yang agak jauh dan menyusahkan warga emas untuk berurusan.
“Walaupun ada hospital, banyak kes kecemasan terpaksa dirujuk ke Pekan dan Kuantan termasuk kes bersalin.
“Selain itu, peluang kerja untuk anak muda memang kurang. Itu yang ramai merantau keluar,” katanya di sini, hari ini.
Pesara kerajaan, Jamaluddin Abd Wahid, 61, pula berkata: “Saya harap wakil rakyat yang
memenangi kerusi ini pada 7 Disember nanti bangunkan DUN ini dan menjaga kebajikan penduduk.”
Guru, Ezrin Ismail, 41, mengakui jalan di kawasan itu bertambah baik kecuali ketika musim tengkujuh terutama di laluan utama dari Leban Condong ke Tanjung Gemok.
“Di segi ekonomi, saya dapati lebih banyak ‘outlet’ yang lebih moden di Muadzam Shah berbanding di kawasan ini,” katanya. – NUR HANNAH KHADIJAH