Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar
KUANTAN: Masih terdapat kira-kira 10 peratus iaitu antara 20 hingga 30 orang penduduk yang meninggalkan kawasan Tanah Putih Baru sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 5 Mei lalu, belum membuat ujian calitan.
Sehubungan itu, pihak polis meminta kerjasama penduduk terbabit untuk berbuat demikian supaya penularan COVID-19 di daerah ini dapat dibendung.
Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, setakat ini seramai 170 daripada kira-kira 200 penduduk yang dilaporkan ‘ghaib’ sebelum pelaksanaan PKPD di kawasan itu sudah tampil membuat ujian calitan masing-masing di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Teluk Sisek, minggu lalu.
“Ketika pemeriksaan awal dilaksanakan, kita dapati terdapat penduduk yang meninggalkan kediaman sebelum PKPD dikenakan di kawasan itu.
“Bagaimanapun, selepas pengumuman oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Pahang, ramai tampil membuat ujian (calitan) di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah baru-baru ini, namun masih terdapat antara 20 hingga 30 orang lagi belum berbuat demikian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengiringi Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail meninjau sekatan jalan raya di Jalan Tanjung Lumpur, dekat sini, pagi tadi.
Turut mengiringi, Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.
Mengulas lanjut, Abd Jalil berkata, penduduk terbabit yang termasuk dalam senarai belum membuat ujian calitan, boleh melakukannya di mana-mana pusat kesihatan selepas peluang berbuat demikian di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah berkahir.
Dalam perkembangan lain, Abd Jalil memaklumkan sebanyak 39 sekatan jalan raya dilakukan PDRM Pahang, terutamanya di sempadan negeri dan daerah, selain di beberapa lokasi dikenal pasti sebagai lorong tikus, untuk menghalang aktiviti rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran.
“Setakat ini kita sudah meluluskan 2,306 permohonan merentas daerah dan negeri kerana mempunyai alasan yang memuaskan, manakala 133 lagi permohonan terpaksa kita tolak kerana menggunakan alasan tidak logik.
“Kita juga harap semua penduduk Pahang terus patuh kepada SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan dan jika semua pihak boleh memberikan kerjasama, Insya-Allah, Pahang boleh menjadi negeri pertama keluar daripada masalah COVID-19 dan seterusnya diisytiharkan negeri hijau seberapa segera,” katanya.