SEGAMAT: Kebanyakan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah di sini, menyuarakan keinginan supaya Barisan Nasional (BN) kembali mentadbir Johor bagi memulihkan kestabilan politik dan ekonomi seperti yang perbah dikecapi sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
Perkara ini dikongsikan Ketua Penerangan UMNO Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang sempat berkunjung ke rumah pengundi di kawasan itu bersama calon BN, See Ann Giap hari ini.
Turut menyertai kunjungan itu, jentera BN yang terdiri daripada ahli UMNO Bahagian Indera Mahkota dan Jerantut yang diamanahkan membantu calon BN bagi DUN Jementah untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan pada 12 Mac ini.
“Rata-rata penduduk mengakui mengenai kebenaran kata YAB Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) bahawa BN mampu mengembalikan kegemilangan Johor yang pernah menjuarai ekonomi dengan mengatasi seluruh negeri lain di negara ini.
“Mereka (penduduk) setuju perlunya mengembalikan kestabilan negeri yang pernah dikecapi sebelum ini. Tahniah Bangsa Johor yang menunjukkan kematangan.
“Semoga dapat diterjemahkan semua ini nanti pada 12 Mac seawal pagi dengan memberi sokongan penuh kepada calon rakyat daripada BN,” katanya di Facebook, hari ini. – Kamal Ariffin Ismail