TEMERLOH: Hasrat penduduk Kampung Padang Lalang untuk bertarawih di surau baharu tahun ini menjadi kenyataan selepas surau yang mula dibina pada Mac 2020 itu mula beroperasi Februari lalu.
Ketua Kampung, Zainuddin Izharulhaq, berkata sebelum ini pembinaan surau berkenaan tertangguh lebih setahun disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Surau ini apabila kami daat tahu surau lama terpaksa dirobohkan untuk dijadikan laluan kepada taman perumahan, jadi saya bersama kepemimpinan kampung dan surau mengambil tanggungawab mengusahakan pembinaan surau baharu.
“Secara kebetulan, tapak bersebelahan surau lama adalah milik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). Namun tidak lama selepas kerja awal pembinaan dijalankan iaitu sekitar Mac 2020, PKP dilaksanakan menyebabkan proses pembinaan terhenti,” katanya ketika ditemui Fikrah Pahang di surau berkenaan, semalam.
Menurutnya, kerja-kerja pembinaan kemudiannya mengalami masalah apabila kos bahan asas mengalami kenaikan luar biasa.
“Dana yang ada tidak lagi mencukupi sehingga pembinaan tertangguh setahun setengah. Mujur YAB Menteri Besar (Dato’ Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail) dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Kuala Semantan, Dato’ Nor Azmi Mat Ludin banyak membantu sehingga dana cukup.
“Kerajaan negeri memberi sumbangan sebanyak RM150,000 manakala Kerajaan Persekutuan pula menyumbang sebanyak RM350,000 dan sumbangan infaq orang ramai melebihi RM100,000 sekali gus membolehkan kerja pembinaan yang tergendala disambung semula pada Oktober 2021,” katanya.
Menurutnya, walaupun belum siap sepenuhnya surau menelan belanja pembinaan kira-kira RM600,000 itu mula beroperasi pada Februari lalu.
“Masih ada yang belum siap antaranya pemasangan bata ‘inter-locking’ dan pagar. Bagaimanapun rata-rata penduduk meluahkan rasa syukur dapat bertarawaih di surau ini tahun ini,” katanya
Ditanya nama surau berkenaan, beliau berkata, buat masa ini, ia belum diputuskan lagi.
“Kita bercadang untuk menjemput Pemangku Raja Pahang (KDYMM Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) untuk merasmikan surau ini dan selepas itu baru nama rasmi dimasyhurkan,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN