PEKAN: Klinik kesihatan yang baharu dibina di Kampung Temai, di sini, bakal memberi lebih keselesaan kepada kira-kira dua ribu penduduk setempat mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
Projek klinik kesihatan (Jenis 7) yang turut dilengkapi dengan kuarters bagi keselesaan petugas sudah diserahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pada Mei lalu.
Perkhidmatan yang akan disediakan merangkumi klinik pesakit luar, perkhidmatan kesihatan wanita dan kanak-kanak serta rawatan kecemasan.
Penduduk Kampung Temai, Musa Razali berkata, pembinaan Klinik Kesihatan Kampung Temai memudahkan penduduk setempat yang ingin mendapat perkhidmatan kesihatan.
“Sebelum ini, penduduk terpaksa ke Hospital Pekan dan paling hampir Klinik Kesihatan Padang Rumbia.
“Saya bagi pihak penduduk Kampung Temai mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang sentiasa prihatin dengan kepentingan rakyat,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD