Penduduk kawasan hotspot di Parlimen Paya Besar diberi keutamaan dapat vaksin

Penduduk kawasan hotspot di Parlimen Paya Besar diberi keutamaan dapat vaksin

Husin Ibrahim

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar Husin Ibrahim

KUANTAN: Penduduk di kawasan ‘hotspot’ dalam Parlimen Paya Besar akan diberi keutamaan mendapatkan suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah berkata, kawasan hotspot itu membabitkan lokasi yang pernah menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan perbincangan juga sedang dilakukan pihaknya dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mempercepatkan proses pemberian vaksin di kawasan terbabit.

“Keutamaan diberikan bagi kawasan-kawasan ini untuk mempercepatkan populasi setempat mendapat imuniti kelompok. 

“Antara kawasan yang diberi keutamaan ialah Panching Selatan sebelum diperluaskan ke kawasan Taman Tas, Pandan Permai dan Kampong Lubuk Puyu yang sedang dalam PKPD,” katanya kepada media selepas melakukan tinjauan proses penghantaran bakul makanan di Dewan Abdul Manan, di sini, hari ini.

KUANTAN 03 OGOS 2021. Timbalan MenteriĀ  Kewangan II dan juga Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah (depan kanan) mengisi lori dengan bakul makanan yang bakal diagihkan kepada penerima. Seramai 4056 orang penerima akan menerima pek bakul makanan ini terutama di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Taman Tas. FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal

Sementara itu, beliau berkata, seramai 4,056 penduduk di kawasan Taman Tas, Pandan Permai dan Lubuk Puyu menerima agihan bakul makanan dari pejabat Ahli Parlimen Paya Besar, hari ini.

Katanya, proses pengagihan itu adalah antara usaha untuk memastikan setiap keluarga yang terjejas mempunyai bekalan makanan di rumah masing-masing.

“Pengagihan bakul makanan kepada penduduk terbabit adalah kesinambungan bantuan disalurkan sebelum ini, memandangkan PKPD di kawasan berkenaan yang bermula 16 Julai lalu, disambung sehingga 14 Ogos ini.

“Jadi, situasi di Taman Tas adalah sedikit berbeza dengan kawasan dikenakan PKPD lain kerana biasanya hanya dua minggu, tapi mereka terpaksa melaluinya hingga empat minggu dan bantuan ini adalah untuk meringankan bebanan mereka.

“Sungguhpun ia belum mencukupi, namun kita cuba lihat apa lagi yang boleh kita buat untuk membantu penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.

Sebanyak 10  lori membawa muatan barangan keperluan asas digunakan untuk melancarkan proses pengagihan bakul makanan itu.

Proses pembungkusan bakul makanan itu dilakukan sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang sudah melengkapkan dua dos vaksin masing-masing.

Mohd Shahar yang juga Timbalan Menteri Kewangan II berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, pihaknya sudah mengagihkan kira-kira 13,000 bakul makanan kepada penduduk sekitar Parlimen Paya Besar.