ROMPIN: Lebih 1,000 penduduk setempat mengunjungi program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) bagi mendapatkan pelbagai barangan keperluan dijual dengan harga berpatutan di padang perumahan nelayan Kampung Sungai Puteri, di sini, semalam.
Program itu anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang dengan kerjasama Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Puteri dan Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Kampung Sungai Puteri.
Timbalan Pengarah Operasi Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA) Pahang, Shabuddin Mohd Nor, 31 usahawan tempatan yang menjual pelbagai produk menyertai program JTDL yang pertama diadakan di daerah ini.
Menurutnya, selain produk usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) turut dijual sayuran dan buah-buahan segar terus dari ladang yang menawarkan harga berpatutan.
“FAMA Pahang akan mengadakan jelajah program JTDL ke semua daerah di negeri ini,” katanya selepas mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain merasmikan program JTDL di Kampung Sungai Puteri. – MOHD IMRAN IZZAD