Penduduk Sungai Lembing dah kalis banjir

Penduduk Sungai Lembing dah kalis banjir

KUANTAN: Penduduk Sungai Lembing yang terletak kira-kira 41 kilometer dari bandar ini sudah ‘kalis banjir’ apabila hampir setiap tahun mereka berdepan dengan kejadian (banjir) itu.

Wan Sahidin Wan Yu, 41, berkata penduduk sudah menganggap banjir adalah sebahagian daripada kehidupan mereka sejak sekian lama.

Wan Sahidin Wan Yu

“Kami sudah tahu apa yang perlu dilakukan terutama persiapan menyediakan bekalan makanan dan simpan dokumen penting di tempat selamat apabila banjir,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagi Soo Chong Long, 74, pula berkata banjir di pekan itu adalah ‘mainan’ penduduk sejak sekian lama.

“Sejak kecil lagi saya sudah biasa melihat air Sungai Kenau melimpah ke pekan jika hujan lebat kerana rumah saya antara yang hampir dengan tebing sungai ,” katanya.

Farah Lydia Md Idris

Peniaga kedai makan, Farah Lydia Md Idris, 35, pula menegaskan dia belum bersedia untuk meneruskan perniagaan kedai makannya selepas mengalami kerugian hampir RM100,000 dalam kejadian banjir awal Januari lalu.

“Banjir di pekan ini memang menjadi tumpuan warga Kuantan. Apabila hujan di bandar, ramai yang menghubungi saya bertanya situasi di sini, seperti sama ada hujan atau air sudah naik atau belum,” katanya. – NUR HANNAH KHADIJAH