ROMPIN: Pulau Tioman akan memiliki klinik bersalin bagi kemudahan penduduknya selepas permohonan pembinaan kemudahan kesihatan itu diluluskan.
YAB Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata seorang doktor pakar turut akan ditempatkan di klinik berkenaan.
Mengenai jeti Kargo, Wan Rosdy berkata, permohonan kepada Kementerian Pengangkutan juga sudah dikemukakan bagi membaik pulih kemudahan sedia ada yang bakal menelan belanja hampir RM8 juta.
“Kerajaan Pahang juga memberikan peruntukan kira-kira RM1 juta bagi membantu pembinaan jeti berkenaan,” katanya yang berharap pengundi di Pulau Tioman dapat terus memilih BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan bertemu dengan penduduk Pulau Tioman, di sini, pada 4 Disember.
Hadir sama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang (Exco), Dato’ Sri Johari Harun dan Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain. – MOHD IMRAN IZZAD