KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan penerbangan ihsan dengan memindahkan wanita hamil dari Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman, Rompin, Ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, pada 8.50 malam tadi.
Afika Abu Bakar, 22, mengalami kontraksi, memerlukan rawatan segera di HTAA dan diterbangkan dengan helikopter berikutan keadaan laut bergelora.
Pengarah APMM Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh, berkata penerbangan itu dilakukan selepas Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima panggilan dari MRCC Putrajaya, pada 6.20 petang.
“Helikopter Agusta AW139 milik APMM terbang dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) tiba di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman, pada 8.50 malam.
“Mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan pada 9.15 malam. Wanita itu seterusnya ke HTAA menggunakan ambulans.
“Penerbangan diketuai juruterbang, Leftenan Komander Maritim Tengku Zamel Tengku Zalwai dan dibantu pembantu juruterbang Leftenan Komander Maritim Muhammad Mahathir Ahmad serta dua kru udara.
“Turut mengiringi pesakit adalah suaminya iaitu pegawai perubatan dan jururawat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Dr Nor Azimi Yunus berkata, penerbangan ihsan itu adalah kali kedua di negeri ini dalam seminggu.
“Pesakit itu tidak dapat dihantar dengan bot kerana laut bergelora. Sehingga ini, pesakit masih dalam proses rawatan,” katanya dalam kenyataan berasingan. – FATH AHNAF