Penghijauan Tasik Chini bukan main-main

Penghijauan Tasik Chini bukan main-main

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

PEKAN: Sejumlah lebih RM6.45 juta digunakan untuk kerja pemulihan dan pemeliharaan Tasik Chini, sejak empat tahun lalu.

Timbalan Pengarah Pembangunan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Dato’ Samsu Anuar Nawi berkata, sekurang-kurangnya RM3.95 juta daripada jumlah itu disuntik menggunakan peruntukan Kumpulan Wang Pembangunan Hutan.

Menurutnya, projek itu membabitkan aktiviti menanam semula pelbagai spesies pokok hutan termasuk pokok penutup bumi di kawasan lapang dan terbuka. 

Selain itu, katanya, Kumpulan Wang Pemulihan Lombong turut menyuntik peruntukan sekurang-kurangnya RM2.5 juta untuk pemulihan kawalan hakisan dan mendapan tanah dalam zon penampan Tasik Chini.

“Selain itu, 13 peserta Orang Asli yang menetap di Kampung Gumum, Kampung Cendahan, Kampung Puput dan Kampung Melai dibekalkan kelengkapan untuk mengumpul, menyemai dan menjaga anak pokok hutan,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas mengiringi lawatan kerja Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Dato’ Zahari Ibrahim ke kawasan pemulihan Tasik Chini, di sini, kelmarin.

Sementara itu, Penolong Pengarah Silvikultur (Zon Pahang Timur I) JPNP, Nurfazliza Kamarulbahrin berkata, program menanam pokok hutan dan penutup bumi kini dilakukan berterusan agar semua dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.