KUANTAN: Barisan Nasional (BN) Pahang yakin sebahagian besar daripada pengundi pos memilih calon daripada BN selepas merasai kemakmuran yang dibawa kerajaan negeri sebelum ini sepanjang tinggal di Pahang.
YAB Pengerusi BN Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri ditadbir BN sudah melakukan terbaik sepanjang menabur khidmat untuk masyarakat di seluruh Pahang.
“Saya optimis sebahagian besar pengindi pos (di Pahang) memihak kepada BN kerana mereka tinggal di negeri ini.
“Saya pasti sepanjang berkhidmat di sini, mereka dapat merasakan kemakmuran yang dibawa pentadbirkan kita selama 54 bulan iaitu sejak 2018,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Ramah Mesra Calon Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Quek Tai Seong dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu (Khairul Hisyam Omar) bersama YAB Menteri Besar Pahang di Dewan Badminton Cenderawasih Timur di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, beliau juga yakin BN Pahang akan beroleh kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.
“Alhamdulillah, maklum balas daripada bawah, ke mana saja saya pergi dapat sambutan baik dan ini jelas menunjukkan sokongan mereka kepada kepimpinan kerajaan (negeri) terdahulu dapat diteruskan.
“Banyak yang kita dah beri dan ditambah baik seperti diumumkan dalam bajet (Belanjawan Pahang 2023), antaranya pengantin baharu akan dapat RM300 berbanding RM200 sebelum ini dan Rumah Rakyat Pahang diberi secara percuma sebanyak lapan unit bagi setiap DUN,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN