Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmailcom
ROMPIN: Perjanjian pengangkutan sampah Wilayah FELDA Pahang Selatan antara Yayasan FELDA Pahang Selatan dan Alam Flora Environmental Solution Sdn Bhd (AFES) diyakini membantu dalam menguruskan sisa pepejal lebih teratur.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Ir Razali Kassim berkata, perjanjian itu membabitkan Gugusan FELDA Keratong, Selancar dan Selendang.
“Melalui perjanjian itu, pengurusan sisa pepejal dapat dilaksanakan dengan teratur hingga ke tapak pelupusan yang membabitkan 5,300 premis,” katanya.
Beliau berkata selepas menyaksikan Majlis Memeterai Perjanjian Pengangkutan Sampah Wilayah FELDA Pahang Selatan antara Yayasan FELDA Pahang Selatan dengan AFES.
Turut sama menyaksikan perjanjian itu ialah ADUN Bukit Ibam, Datin Samsiah Arshad.
Perjanjian itu ditandatangani Ketua Pegawai Operasi Alam Flora Sdn Bhd, Dato’ Mohd Zain Hassan yang mewakili AFES manakala Yayasan FELDA Pahang Selatan diwakili Pengerusinya, Mat Fiah Yahya.