Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
MARAN: Syarikat bas persiaran mengambil inisiatif mengubah suai bas dua tingkat dan dijadikan pusat vaksin bagi Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAC) untuk membantu melancarkan lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Bas milik Elang Wah Sdn Bhd akan berada di Dewan Semai Bakti, Felda Jengka Tiga, di sini, selama dua hari bermula hari ini.
Pengurus Elang Wah, Abdul Rahman Mohamed, berkata kerjasama itu memberi nafas baharu kepada pengusaha bas persiaran yang kini terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
“Kami mempunyai 20 bas persiaran. Sehingga ini, hanya satu diubah suai dan dijadikan pusat vaksin,” katanya ketika ditemui di program terbabit, di sini, hari ini.
Katanya, bas terbabit mempunyai tujuh stesen suntikan iaitu tiga di tingkat bawah dan empat di tingkat dan ia mampu menampung sehingga 1,120 penerima vaksin sehari.
“Selain menyediakan bas, kami turut menyediakan perkhidmatan petugas kesihatan untuk tujuan vaksinasi dengan kerjasama dengan dua klinik swasta,” katanya.
Abdul Rahman berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat memperluaskan kerjasama seperti ini supaya lebih banyak pengusaha bas persiaran mendapat manfaat.
“Akibat pandemik, syarikat terjejas teruk dan sebahagian besar pekerja terpaksa diberikan cuti tanpa gaji. Namun, jika peluang ini diperluaskan, kami boleh memanggil mereka bekerja semula,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, sehingga ini, empat bas digunakan untuk program MOVAC di Felda Jengka Tiga.
“Program dua hari ini membabitkan 1,600 penerima vaksin membabitkan penduduk Felda Jengka Tiga, Jengka Dua, dan Ulu Jempol,” katanya.