Peniaga durian degil dikompaun

Peniaga durian degil dikompaun

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

RAUB: Tujuh kompaun dikeluarkan oleh Majlis Daerah Raub (MDR) terhadap peniaga durian Musang King di Sungai Klau dan Sungai Chalit, di sini. 

Pegawai Daerah Raub, Dato’ Mohamad Shahid Ismail, berkata kompaun dikeluarkan kerana peniaga gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di premis pengumpulan dan jualan durian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). 

“Enam kompuan dikeluarkan pada 27 Julai lalu. Satu kompaun pada 1 Ogos. Mereka dikenakan kompaun kerana didapati berkumpul melebihi jumlah yang sepatutnya pada satu-satu masa dan melanggar SOP sepanjang PKPD.

RAUB..Pusat pengumpulan dan jualan durian di Sungai Klau dan Sungsi Chalit perlu mematuhi SOP yang ketat dalam usaha menghindar penularan wabak COVID-19.

“Kita akan melakukan pemantauan berterusan dari semasa ke semasa bagi memastikan SOP mencegah penularan COVID-19 dipatuhi,” katanya di sini, hari ini.

PKPD di Sungai Chalit dan Sungai Klau yang dijadual tamat pada 10 Ogos lalu dilanjutkan sehingga 24 Ogos depan selepas penularan kes COVID-19 terus berlaku.

Mohamad Shahid berkata, hanya lapan hingga 10 individu dibenarkan berada dalam premis jualan durian dalam satu-satu masa berdasarkan kepada keluasan premis terbabit sepanjang PKPD. 

Beliau berkata, aktiviti jualan durian khususnya Musang King dibenarkan biarpun kawasan berada dalam PKPD. 

Bagaimanapun, katanya, peniaga perlu menjalani ujian calitan RTK setiap dua minggu sekali manakala peniaga luar yang masuk ke Raub wajib melakukan ujian PCR.