Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar
KUANTAN: Seorang peniaga buah mendakwa kerugian RM414,932 kerana ditipu seorang lelaki dalam urusan pembelian durian Musang King pada 30 Jun lalu.
Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian berlaku apabila usahawan berusia 29 tahun itu dihubungi suspek yang dikatakan berhasrat membeli 10 bakul durian Musang King gred A dan B.
Beliau berkata, mangsa mendakwa semua durian Musang King yang ingin dibeli suspek, dianggarkan berharga RM7,800 dan kedua-dua pihak bersetuju dengan tawaran harga terbabit.
“Mangsa kemudian didatangi seorang lelaki yang mendakwa dirinya pekerja suspek dan memaklumkan pembayaran sudah dilakukan ke dalam akaun syarikat mangsa melalui pemindahan wang secara talian.
“Suspek kemudian menunjukkan ‘bukti’ kononnya pembayaran sudah dilakukan oleh majikannya dan mangsa mempercayainya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan laporan, mangsa kemudian berurusan dengan seorang lagi suspek awal bulan ini bagi urusan sama.
Katanya, mangsa kemudian memerima bukti pembayaran daripada suspek yang kononya sudah membuat pembayaran secara atas talian ke dalam akuan bank syarikat milik mangsa bermula 1 Julai hingga semslam.
“Mangsa dikatakan telah menyemak akaun miliknya pada Isnin lalu dan mendapati tiada transaksi kemasukan wang ke dalam akaun milik syarikat seperti didakwa suspek.
“Bagi mengesahkan perkara itu mangsa membuat pemeriksaan dengan pihak bank sebelum menyedari dia ditipu,” katanya.
Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian membuat laporan di sebuah balai polis di negeri ini selepas merasa dirinya ditipu.
“Modus operandi digunakan suspek memperdaya mangsa dengan pembelian durian Musang King, namun selepas urusan jual beli dilakukan, mangsa tidak mendapat sebarang bayaran daripada suspek.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.