LIPIS : Hasrat seorang pendaki untuk menamatkan ekspedisi mendaki Gunung Tahan tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan turun dari puncak gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia itu.
Mangsa yang juga seorang peniaga, Raja Azlan Shah Raja Abdul Aziz, 51, meninggal dunia kira-kira jam 12.30 tengah hari di Hospital Lipis, dipercayai akibat kehabisan tenaga dan lemah selain mengalami cirit-birit selama dua hari.
Mangsa yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor dipercayai kehabisan tenaga dan lemah, manakala mengalami cirit-birit selama dua hari.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor, berkata anggota Balai Polis Merapoh menerima maklumat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Lipis mengenai kejadian seorang pendaki mengalami kehabisan tenaga untuk meneruskan perjalanan.
“Siasatan polis mendapati kumpulan pendaki berkenaan yang terdiri daripada 12 lelaki darip Selangor yang dipandu arah oleh dua malim gunung, ketika itu sedang dalam perjalanan turun ke Kuala Juram daripada puncak Tahan.
“Mereka mula mendaki pada 12 Mac lalu dan dijangka pulang dan tiba sampai di Kuala Juram pada 16 Mac (hari ini). Ketika dalam perjalanan turun kira-kira 13 kilometer dengan Kuala Juram, dekat sini, mangsa telah hilang tenaga dan lemah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Azli, malim gunung melaporkan keadaan mangsa mengalami cirit birit selama dua hari dan tidak makan sehingga dia menjadi amat lemah.
Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis telah memohon bantuan helikopter Polis di Raja Malaysia (PDRM) bagi tujuan menyelamat dan membawa turun mangsa yang disahkan meninggal dunia di Hospital Lipis.
“Operasi menyelamat dan membawa turun mangsa membabitkan seramai tiga pegawai, sembilan anggota pasukan beruniform terdiri daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia), JBPM Lipis, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta dua malim gunung.
“Mangsa dibawa dengan helikopter dan mendarat di padang Dataran Residen, bandar Kuala Lipis dan dibawa ke Hospital Lipis,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE