Peniaga, pekebun durian dari luar Raub perlu jalani PCR COVID-19

Peniaga, pekebun durian dari luar Raub perlu jalani PCR COVID-19

Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Semua peniaga dan pekebun durian dari luar Raub yang ingin memasuki daerah itu perlu menjalani ujian saringan Polymerase Chain Reaction (PCR).

Jabatan Pertanian Malaysia dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan, langkah itu bagi mengelakkan penularan COVID-19 berlaku dalam kalangan peniaga dan pekebun durian di Raub

“Ujian saringan PCR itu sekurang-kurangnya dilakukan tiga hari sebelum perjalanan ke Raub dan keputusan ujian perlu dibawa untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa di sekatan jalan raya (SJR) daerah berkenaan sebagai bukti.

“Arahan ujian ini susulan penularan COVID-19 dikesan berlaku dalam kalangan peniaga dan pekebun durian di beberapa lokaliti di Raub,” kata jabatan berkenaan.

Sehubungan itu, jabatan itu memaklumkan, arahan itu berkuat kuasa serta merta dan semua pemegang Surat Pengesahan Keterlibatan Dalam Aktiviti Rantaian Pembekalan dan Pemasaran Berkaitan Keperluan Makanan dikeluarkan Jabatan Pertanian Malaysia, perlu mematuhinya.

“Perkara ini sejajar dengan kuasa-kuasa yang diberikan kepada Majlis Daerah Raub berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 di bawah Seksyen 72(1)(f)(i).

“Sebarang pertanyaan, boleh hubungi talian 09-3551267/013-9657293 pada waktu pejabat,” menurut kenyataan itu.