Peniaga, pekebun murah rezeki di Pekan

Peniaga, pekebun murah rezeki di Pekan

PEKAN: Golongan peniaga dan pekebun di daerah ini dianggap bertuah apabila menerima pelbagai kemudahan yang diusahakan Kerajaan Pahang yang diterajui Barisan Nasional (BN).

Pekebun, Mohd Derus Abdul Latif, 62, berkata selain menyediakan kawasan untuk mengusahakan tanaman, bantuan input pertanian turut diberikan setiap tahun.

Menurutnya, projek pertanian di daerah ini sentiasa mendapat sokongan daripada pemimpin di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta setiap masalah diberi perhatian segera untuk diselesaikan.

“Kemajuan sektor pertanian di daerah ini banyak disokong oleh pemimpin setempat, hasilnya Pekan kini menjadi pengeluar hasil pertanian seperti nangka, beras, kelapa sawit dan sayuran.

“Saya kini mampu mengeksport nangka muda ke Singapura dan nangka madu ke beberapa daerah di negeri ini,” katanya yang memiliki ladang seluas 14 hektar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kota Perdana dan TKPM Salong, di sini.

Bagi Mohd Amir Abd Manan, 38, yang mengusahakan restoran makanan laut di Kampung Kuala Pahang, berkata kerajaan baharu nanti perlu menyediakan lebih banyak peluang perniagaan kepada golongan muda.

“Saya harap calon BN bagi kerusi Parlimen dan DUN yang akan memenangi Pilihan Raya Umum (Ke-15) nanti dapat memikirkan cara membela nasib golongan muda yang berminat menceburi bidang perniagaan,” katanya. 

Dari kiri, Mohd Derus Abd Latiff, Mohd Amir Abd Manan dan Thuraya Ab Razak

Bagi Thuraya A Razak, 54, yang mengusahakan perniagaan produk sejuk beku berkata, kini semakin ramai generasi muda lepasan sekolah dan pusat pengajian tinggi berminat dengan aktiviti berniaga secara kecil-kecilan.

“Kerajaan perlu menyediakan lebih banyak kawasan berniaga di daerah ini, tanpa dikenakan sewa yang tinggi selain menyediakan bantuan khidmat nasihat dan bimbingan oleh agen berkaitan. – MOHD IMRAN IZZAD