Peniaga Ramadan masih jual harga lama

Peniaga Ramadan masih jual harga lama

KUANTAN: Rata-rata peniaga di Pasar Ramadan di daerah ini masih mengekalkan harga lama untuk pelbagai juadah berbuka puasa.

Peniaga Roti John, Ismail Manja, 49 berkata, dia tetap mengekalkan harga sebelum ini walaupun beberapa bahan yang digunakan harganya sudah naik.

“Saya jual Roti John di antara RM7 dan RM10 satu. Masih memberi keuntungan memuaskan pada saya. Syukur dengan rezeki setiap hari,” katanya ditemui di Pasar Ramadan Taman Tas, di sini.

Beliau yang juga bekas tentera berkata, sebagai peniaga tidak guna dirinya tamak dengan cara menaikkan harga jualan hingga membebankan pengguna.

Peniaga mi dan nasi goreng, Muhamad Kamaruzaman Masri, 23 berkata, dia tetap terus menjual dengan harga lama iaitu di antara RM3 dan RM4 sebungkus.

“Walaupun harga beberapa bahan mentah naik, saya tetap menjual mi dan nasi goreng pada harga lama, keuntungan diraih cukup memadai,” katanya yang bersyukur dengan rezeki diterima. –  MOHD IMRAN IZZAD