Penjara latih banduan tanam sawit, kelapa

Penjara latih banduan tanam sawit, kelapa

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

BENTONG: Jabatan Penjara Malaysia akan membangunkan ladang kelapa sawit yang bakal digunakan untuk melatih dan membimbing banduan dalam bidang pengurusan ladang. 

Pengarah Penjara Pahang, Dato’ Ab Basir Mohamad, berkata ladang 32 hektar itu terletak di belakang Penjara Penor, Kuantan, dan inisiatif itu akan dimulakan pada awal 2022. 

Menurutnya, ladang kelapa akan turut dibangunkan sebagai pusat latihan kepada banduan yang meminati bidang pertanian.

“Kita mahu melatih dan mendedahkan banduan dalam pengurusan ladang kelapa sawit bermula daripada peringkat tapak semaian sehinggalah menjual hasil. 

“Selain itu, aktiviti menanam tanaman kontan seperti cili dan jagung turut dilakukan sementara menunggu hasil utama keluar.

“Projek tanaman kelapa diusahakan kerana ia mendapat permintaan tinggi. Buah kelapa boleh dijual terus selain dihasilkan santan. Ia memberikan kemahiran kepada banduan untuk digunakan selepas dibebaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang, Profesor Dr Mohd  Ilham Adenan ke Penjara Bentong,  semalam.

Hadir sama Pengarah Penjara Bentong, Dato’ Abu Hasan Hussain.

Ab Basir berkata, ladang terbabit akan diusahakan sendiri oleh banduan dengan bimbingan pegawai penjara dan rakan strategik sedia ada seperti Felda, Felcra Bhd dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP). 

Katanya, jabatan akan mendapatkan khidmat nasihat dan teknikal daripada pihak UiTM Pahang yang mempunyai kepakaran dalam bidang tanaman kelapa sawit dan kelapa.