Penjara Pahang terima sumbangan 2,000 buku

Penjara Pahang terima sumbangan 2,000 buku

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Muslim Care Malaysia tampil menyumbang kira-kira dua ribu buku baharu dan terpakai untuk banduan Penjara Negeri Pahang.

Presidennya, Zulkifli Wahijan, berkata sumbangan buku ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh banduan yang sedang menjalani hukuman membabitkan pelbagai kesalahan di Penjara Penor dan Penjara Bentong.

Menurutnya, difahamkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 semua banduan tidak berpeluang mengikuti sebarang aktiviti termasuk latihan kemahiran dan kelas agama sebagaimana sebelum ini.

“Justeru, Muslim Care tampil menyumbang buku agama, motivasi, majalah dan novel kepada Penjara Malaysia sebagai tanda keprihatinan terhadap agensi berkenaan.

“Pelbagai jenis buku disumbangkan itu diharap dapat mengisi masa yang terluang di kalangan banduan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan 2,000 buku kepada Jabatan Penjara Malaysia yang diwakili Pengarah Penjara Pahang, Datuk Ab Basir Mohamad di Penjara Penor, di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, pihaknya turut menyumbang 100 telekung buat Penjara Negeri Pahang dan esok pihaknya akan menyerahkan 1,000 buku kepada Penjara Negeri Terengganu.

Sementara itu, Ab Basir berkata, pihaknya hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada Muslim Care yang tampil menyumbang buku kepada Penjara Negeri Pahang sebagai bahan bacaan banduan.

Katanya, kini terdapat kira-kira 5,000 banduan terbabit dengan pelbagai kesalahan menjalani hukuman di Penjara Bentong dan Penjara Penor.

“Sebelum ini, kita turut menerima sumbangan buku daripada beberapa pihak terutama selepas tersiar berita di akhbar Penjara Negeri Pahang memerlukan bahan bacaan untuk banduan.

“Pihak penjara perlu mematuhi arahan daripada pihak berkuasa kerajaan berkaitan larangan aktiviti latihan banduan dalam penjara bagi mengelak berlaku penularan wabak COVID-19 kerana kesihatan mereka sentiasa diberi perhatian,” katanya.