Penjara terima lebih 6,000 buku untuk kegunaan banduan

Penjara terima lebih 6,000 buku untuk kegunaan banduan

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

BENTONG: Penjara Pahang menerima lebih 6,000 buku sumbangan pelbagai pihak sebagai bahan bacaan banduan yang berada di dua penjara di negeri ini.

Pengarahnya, Dato’ Ab Basir Mohamad, berkata buku terbabit ditempatkan di Penjara Bentong dan Penjara Penor yang menempatkan kira-kira 5,000 banduan pelbagai kesalahan.

Menurutnya, sebahagian buku turut ditempatkan di rumah perantaraan dan bagi kegunaan kumpulan banduan yang menjalani perintah parol.

Katanya, selepas berita Penjara Pahang memerlukan buku disiarkan, awal September, sebagai bahan bacaan untuk banduan, pelbagai pihak tampil memberi sumbangan sebagai tanda prihatin mereka.

“Terdapat dua belas penyumbang. Antara menyumbang ialah Muslim Care Malaysia, Perpustakaan Pahang, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Galeri Ilmu dan Kumpulan Karangkraf,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima 1,200 pelbagai jenis buku daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang yang disampaikan Rektor UiTM Pahang, Profesor Dr Mohd  Ilham Adenan di Penjara Bentong, kelmarin.