Pensyarah muncul Johan qari Pahang empat kali

Pensyarah muncul Johan qari Pahang empat kali

KUANTAN: Meskipun sudah tiga kali bergelar johan Tilawah al-Quran peringkat negeri Pahang, dia tidak menganggap mudah, malah berterusan menjalani latihan bagi memantapkan lagi pembacaan ayat suci dalam pertandingan untuk tahun ini.

Usaha keras Mohamad Syaheed Sabri, 30, ternyata berbaloi apabila dia sekali lagi dinobatkan johan Qari pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang ke-65 di sini, hari ini.

Malah, Mohamad Syeheed yang mewakili daerah Raub, turut memperbaiki markah peribadi apabila mencatatkan 94.5 peratus berbanding 92.5 peratus tahun lalu.

“Saya tak sangka dapat mempertahankan kemenangan ini kerana peserta lain yang bertanding semuanya hebat dan berpengalaman,” katanya kepada Fikrah Pahang ketika ditemui pada majlis berkenaan yang diadakan di sebuah hotel di Tanjung Lumpur di sini.

Mohamad Syeheed yang juga pensyarah di Maahad Tahfiz Negeri Pahang, sebelum ini menjadi johan pada 2015, 2019 dan tahun lalu. “Berdasarkan pertandingan sebelum ini, saya kenal pasti kelemahan iaitu tarannum dan tajwid, jadi untuk kali ini saya tumpukan latihan untuk memantapkan keduanya.

“Untuk kejohanan (tilawah) peringkat kebangsaan nanti, saya akan berusaha memberikan yang terbaik,” katanya yang mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun.

Bagi Siti Fatimah Mohd Noor, 19, yang mengungguli kategori Qariah, perasaan gugup dan teruja bercampur-baur sebaik namanya diumumkan pemenang bagi tahun ini. “Tak tersedar menitis air mata bila dapat tahu saya muncul johan apatah lagi ini kali pertama saya menyertai pertandingan ini. “Alhamdulillah, semoga kemenangan ini dapat menjadi pemangkin untuk saya buat lebih baik lagi pada masa depan terutama apabila mewakili Pahang di peringkat kebangsaan nanti,” katanya yang berasal dari Tanah Putih, di sini.

Menurut penuntut jurusan dakwah Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) itu, dia tidak sabar untuk menghadiahkan sebahagian wang kemenangan itu kepada kedua ibu bapanya. “Selebihnya saya akan simpan atau buat pelaburan,” katanya.

Kedua-dua pemenang masing-masing menerima hadiah kemenangan wang tunai berjumlah RM8,000. Hadiah kemenangan disampaikan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang menjadi wakil rasmi KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Abdul Rahman Osman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Zulkefli Ali. – HELMY ABD RAHMAN