Penternak dah mula ikat sangkar, elak hanyut jika banjir

Penternak dah mula ikat sangkar, elak hanyut jika banjir

TEMERLOH: Penternak ikan sangkar di sepanjang Sungai Pahang kini sudah mula mengikat sangkar ikan mereka bagi mengelak dihanyutkan arus jika banjir berlaku.

Mohammad Khairil Johari, 34, berkata dia menyediakan perbelanjaan di antara RM100 dan RM200 untuk membeli tali bersaiz besar serta berkualiti bagi mengikat 24 sangkar di Kampung Tanjung Kubu, Kuala Krau dekat sini.

Menurutnya, sangkar perlu diikat dengan baik bagi memastikan ia tidak hanyut dibawa arus air sungai terutama apabila berlaku banjir dan paras air meningkat dua hingga tiga kali ganda.

“Saya rela mengeluarkan sedikit belanja sebelum perkara buruk berlaku yang boleh menyebabkan kerugian,” katanya.

Menurutnya, tindakan mengikat sangkar pada pokok kelapa di tepi Sungai Pahang adalah dianggap berkesan. 

Bagi Noreha Abd Ghani, 62, yang mengusahakan projek ikan sangkar di Kampung Langgar, Pekan, dia menggunakan kabel besi untuk mengikat sangkar pada pokok besar di tepi Sungai Pahang. – MOHD IMRAN IZZAD