KUANTAN: Tujuh puluh tiga penternak ikan di Temerloh, Jerantut, Bentong, Lipis dan Maran rugi lebih RM1.4 juta apabila sangkar dan kolam mereka musnah dilanda banjir.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, kerugian penternak akuakultur itu dijangka meningkat berikutan keadaan banjir yang masih berlaku di beberapa daerah.
Menurutnya, Estet Ikan Paya Chempaka (15 hektar), Estet Ikan Paya Lanar (25 hektar) dan Estet Ikan Paya Lubuk Kawah (31 hektar) di Temerloh juga ditenggelami banjir menyebabkan ikan terlepas daripada sangkar.
“Kita menjangkakan jumlah kerugian sebenar adalah lebih tinggi selepas selesai penilaian dibuat apabila banjir surut sepenuhnya nanti.
“Banyak sangkar ikan sepanjang Sungai Pahang di Temerloh, Jerantut, Lipis, Maran dan Pekan musnah dibawa arus di samping ditimpa pokok dan dilanggar balak hanyut.
“Oleh itu, saya berharap penternak akuakultur dan juga nelayan darat dapat melaporkan kerugian kepada Jabatan Perikanan selepas ini,” katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan melaksanakan semakan sebelum mengemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk bantuan melalui Tabung Bencana Pertanian (TBP).
Abdullah berkata, jabatan simpati dengan apa yang dialami penternak dan pengusaha akuakultur di negeri ini, berharapkan mereka tabah serta bersabar menghadapi ujian yang tidak dijangka ini. – MOHD IMRAN IZZAD.