KUANTAN: Sekurang-kurangnya 281 penternak di sembilan daerah dianggarkan rugi lebih RM1.4 juta 281 selepas lebih 17,403 ternakan mati dan hilang angkara bah, pada akhir tahun lalu.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pahang, Dr Kamaliah Ghazali berkata, jumlah kerugian dijangka bertambah kerana ramai lagi penternak belum membuat aduan kerana masih berdepan banjir gelombang kedua.
Menurutnya, selain lemas apabila kadang dan reban ditenggelami banjir, terdapat juga kes ternakan hilang dibawa arus banjir.
“Ternakan paling banyak mati ialah ayam iaitu 14,849 ekor diikuti itik (1,100), ayam belanda (412), lembu (307), arnab (210), kambing (132) dan bebiri (64).
“Kuantan, Pekan dan Jerantut antara daerah banyak merekodkan kerugian. Oleh itu, JPV Pahang menyediakan bantuan makanan palet buat penternak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program sumbangan makanan haiwan kesayangan kucing dan anjing kepada mangsa banjir di perkarangan surau perumahan Bukit Rangin Perdana Dua, di sini, semalam.
Turut sama Pengarah Bahagian Regulatori JPV Malaysia, Dr Mohammad Razli Abdul Razak.
Dr Kamaliah berkata, selepas ini pihaknya akan terus membantu penternak yang terkesan dalam usaha meringankan beban mereka. – MOHD IMRAN IZZAD