Penuntut UiTM Dungun ditemui lemas di Cherating

Penuntut UiTM Dungun ditemui lemas di Cherating

KUANTAN: Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) ditemui lemas di Pantai Cherating, kira-kira 40 kilometer dari sini, pada 7.30 pagi ini. 

Mangsa, Allahyarham Adam Ridhuan Abdul Rejab, 19, yang juga penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu, disyaki lemas ketika mandi bersama rakan di pantai itu, semalam. 

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, jasad ditemui oleh orang awam di pantai belakang Pusat MARDI Cherating. 

“Jasad ditemui dalam keadaan tertiarap dan hanyut sekurang-kurangnya 8.6 kilometer dari lokasi kejadian. 

“Keadaan jasad ditemui bersinglet celoreng, berseluar pendek hitam dan tiada sebarang kecederaan,” katanya. 

Katanya, pengecaman sudah dibuat oleh ahli keluarga dan jasad dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan lanjut. 

“Dengan penemuan itu, operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 9 pagi ini,” katanya. – FATH AHNAF