JERANTUT: Seratus lapan puluh penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) terbabit dalam Program Kelestarian Alam Sekitar (Go Green Go Lively : UMPH & Forestry) di Hutan Simpan Tekam, di sini, hari ini.
Antara aktiviti diadakan pada program berkenaan ialah menanam kira-kira dua ribu pokok spesies keruin dan meranti temak nipis dalam kawasan seluas dua hektar.
Program anjuran Kumpulan UMP Holdings dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Jerantut bertujuan untuk mengekalkan liputan kawasan berhutan di negeri ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMP, Prof Madya Dr Mohd Rusllim Mohamed dan Pengerusi Kumpulan UMP Holdings, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.
Mohd Rusllim berkata, program julung kali diadakan itu bertujuan meningkatkan kesedaran semua pihak terhadap kepentingan mengekalkan kawasan hutan dan semangat cintakan alam sekitar. – MOHD IMRAN IZZAD