ROMPIN: Sekumpulan 30 pelancong yang bercuti di Kampung Juara, Pulau Tioman, bertuah apabila berpeluang melihat penyu jenis agar (green turtle) mendarat lebih sejam di pesisir pantai untuk bertelur, pada kira-kira 6 pagi, akhir minggu lalu.
Penduduk, Hisham Mohd Asar berkata, sekurang-kurangnya 14 penyu agar mendarat untuk bertelur di Kampung Juara, berbanding antara dua dan tiga sebelum ini.
Menurutnya, pelancong yang bernasib baik berpeluang melihat penyu mendarat pada sebelah malam dan awal pagi.
“Kita tidak benarkan pelancong mengusik penyu seperti memegang, membuat bising dan menggunakan lampu ketika melihat penyu itu bagi mengelak ia merajuk.
“Telur penyu dibiarkan menetas secara semulajadi. Anak penyu itu diharap mendarat semula untuk bertelur suatu hari nanti,” katanya, di sini, hari ini.
Sementara itu Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Abdullah Jaafar berkata, pelancong diingatkan tidak mengusik penyu, biarkan ia mendarat dan meninggalkan pantai secara bebas.
“Menjadi kesalahan sekiranya kita mengganggu reptilia berkenaan,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD.