Penyu mati kerana pukat dan plastik

Penyu mati kerana pukat dan plastik

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang merekodkan lima kematian penyu agar akibat tersangkut pada pukat nelayan dan terkena kipas bot di samping masalah usus kerana terdapat plastik.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, lima kematian penyu dewasa itu berlaku di daerah ini dan bangkai reptilia itu ditemui penduduk di pesisir pantai.

Menurutnya, tujuh kematian penyu agar direkodkan pada 2020 membabitkan enam di daerah ini dan satu di Pekan. 

“Kami memandang serius kes kematian penyu setiap tahun disebabkan kecuaian pihak tertentu. Oleh itu, usaha kesedaran dilakukan secara berterusan bagi memastikan kejadian sama tidak terus berulang.

“Saya minta nelayan supaya guna pukat atau jaring saiz mata dibenarkan sahaja bagi mengelakkan reptilia terbabit terperangkap, cedera dan mati,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kesedaran Awam Terhadap Kepentingan Pemuliharaan Sumber Marin Pahang 2021 di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating, dekat sini, semalam.

Pada program berkenaan diadakan aktiviti melepaskan 1,000 anak penyu yang disaksikan kakitangan Jabatan Perikanan Pahang dan keluarga mereka. – MOHD IMRAN IZZAD