Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Nasib mangsa banjir di Yan dan Kuala Muda, Kedah, mendapat perhatian apabila akan menerima peralatan elektrik dan tilam Kerajaan Pahang melalui Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).
Sumbangan bernilai RM50,000 itu dijana melalui Misi Bantuan Banjir MBK bersama Anak Anak Muda Bandar Raya Kuantan.
Datuk Bandar MBK, Dato’ Hamdan Hussin, berkata misi bantuan itu diharap dapat meringankan beban mangsa banjir selepas kediaman mereka mengalami kerosakan akibat bencana itu.
Katanya, 300 peralatan elektrik dan tilam akan diberikan kepada mangsa yang diharap meringankan beban yang ditanggung.
“Kita berterima kasih kepada Kerajaan Pahang yang memberikan sokongan dan kerjasama,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Program Misi Bantuan Banjir MBK bersama Anak Muda Bandaraya Kuantan di perkarangan Kompleks MBK, di sini, hari ini.
Sementara itu, penyelaras misi itu, Muhammad Asmawi Sulaiman, berkata
pihaknya akan bergotong royong membersihkan kawasan yang terbabit banjir selain menghantar sumbangan.
Katanya, 25 ahli akan dibantu golongan belia terutama di kawasan Kuala Muda.
“Dengan sumbangan ini, kita harap ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung keluarga mangsa,” katanya.