Perdana Menteri dari UMNO kembali terajui kerajaan

Perdana Menteri dari UMNO kembali terajui kerajaan

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, jam 2.30 petang tadi.

Pelantikan itu juga menyaksikan kerusi Perdana Menteri kembali kepada UMNO selepas ‘bertukar tangan’ dua kali sejak kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara.

Ismail Sabri yang memakai baju Melayu hitam lengkap bersamping hitam bersulam benang warna keemasan diiringi isterinya, Datin Sri Muhaini Zainal Abidin.

Ahli Parlimen Bera itu kemudian menandatangani beberapa dokumen berkaitan sambil disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Berangkat sama pada istiadat berkenaan, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir dua bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Istiadat diakhiri bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan, selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ia susulan peletakan jawatan Muhyiddin selepas Ahli Parlimen Pagoh itu hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan.