Perdana Menteri mahu kilang sediakan pusat vaksin sendiri

Perdana Menteri mahu kilang sediakan pusat vaksin sendiri

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

BERA: Semua pengurusan kilang di negara ini disarankan menyediakan pusat pemberian vaksin (PPV) di premis sendiri untuk pekerja mereka, terutama warga asing.

Langkah itu bagi mengelak kesesakkan di PPV kerajaan seperti yang berlaku di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil, yang pernah diserbu warga asing untuk mendapatkan vaksin secara ‘walk-in’.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan (KKM).

“PPV perlu dibuat di kilang supaya pekerja terbabit tidak perlu keluar untuk mendapatkan suntikan vaksin. 

“Pihak kilang boleh membeli vaksin sendiri kerana saya percaya harga vaksin tidak begitu mahal berbanding kerugian yang ditanggung sekiranya kilang terpaksa ditutup.

“Malah, ia akan menguntungkan mereka kerana mana-mana kilang sudah mempunyai 80 peratus pekerja yang lengkap dua dos dibenarkan beroperasi,” katanya dalam sidang media selepas selepas menyaksikan Eksesais Para Predator Siri 1 Briged 10 Para Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Batu Bor, di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai cadangan mewajibkan pengambilan suntikan vaksin dalam kalangan penjawat awam, Ismail Sabri berkata, perkara itu belum lagi diputuskan.

“Tapi, jika masih ramai (penjawat awam) belum mengambil vaksin, kita perlu lebih tegas dan mungkin mewajibkannya. Ini untuk memastikan keselamatan ramai,” katanya.