Perdana Menteri tawar pembangkang anggotai MPN dan  Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Perdana Menteri tawar pembangkang anggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menawarkan ruang kepada kepemimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Beliau berkata, langkah itu mampu memastikan setiap intervensi dan usaha pihak kerajaan untuk menurunkan kes COVID-19, dapat dilakukan secara lebih komprehensif.

Malah, katanya, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam perjumpaan bersama ketua-ketua parti baru-baru ini, bertitah kepada semua supaya melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat. 

“Saya faham, kemelut politik yang melanda negara menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat. Oleh itu, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan, termasuklah mewujudkan kerjasama rentas parti. 

“Justeru, saya ingin menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19,” katanya ketika bersiaran secara langsung, hari ini.

Perdana Menteri kesembilan itu berkata, fokus utama baik daripada kalangan kerajaan, mahupun pembangkang ketika ini seharusnya untuk mencari jalan menangani pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi rakyat. 

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh Ahli Dewan Rakyat, sama ada dalam atau luar kerajaan supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara.

“Ia dapat dilaksanakan melalui kerjasama strategik rentas kerajaan dengan pembabitan pemegang taruh, agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan sistem kesihatan negara kembali stabil. 

“Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan dan perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita, iaitu Keluarga Malaysia,” katanya.

Tambahnya, bagi memastikan imuniti berkelompok dalam negara dapat segera dicapai, kerajaan bersetuju membuat pembelian tambahan sejumlah 6 juta dos vaksin lagi.

“Vaksin ini akan diterima menjelang awal September 2021, sebagai satu berita baik kepada semua bersempena Bulan Kemerdekaan ini.

“Kerajaan ini juga akan memastikan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung semakin diperhebat,” katanya.