Perhilitan tangkap beruang betina sesat di hospital

Perhilitan tangkap beruang betina sesat di hospital

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

Pic Ihsan Perhilitan

TEMERLOH: Orang ramai di sekitar Kampung Paya Pulai termasuk Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), di sini digemparkan dengan kehadiran seekor beruang yang tersesat sejak malam kelmarin.

  Berdasarkan rakaman video oleh orang awam menunjukkan beruang berkenaan berkeliaran di sekitar kawasan termasuklah di kawasan hospital dan juga berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh.

  Bagaimanapun haiwan liar yang tersesat itu dilihat cuba melarikan diri daripada orang ramai dan tidak cuba menyerang atau mencederakan sesiapa.

  Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, pihaknya berjaya menangkap beruang berkenaan kira-kira 12.30 tengahari semalam.

  “Operasi menangkap haiwan berkenaan dilakukan kakitangan Perhilitan Temerloh dengan mendapat kerjasama daripada beberapa penduduk kampung.

  “Beruang betina seberat 60 kilogram berusia antara dua hingga tiga tahun itu dibawa ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Jenderak Selatan, di sini bagi rawatan dan pemantauan,” katanya di sini, semalam.

  Menurut Rozidan, tiada sebarang kecederaan berlaku pada kakitangan Perhilitan dan orang awam ketika operasi menangkap haiwan liar berkenaan.

  Katanya, berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan mendapati beruang berkenaan juga dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan baharu dan lama.

  Menurutnya, beruang betina itu dipercayai tersesat sebelum berkeliaran dalam kawasan hospital dan berhampiran sekolah, kemungkinan juga haiwan berkenaan keluar daripada kawasan hutan untuk mencari makan.