KUANTAN: Graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Automotif, Hussein Al-Faiz Mohamed Ahmed Hafez tidak menduga menerima dua anugerah kecemerlangan pada Majlis Konvokesyen Ke-16 Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Hussein Al-Faiz, 26 menerima Anugerah Kecemerlangan UMW Holdings Bhd dan Anugerah Kecemerlangan Program Dual Ijazah – Verein Deutscher Ingenieure Award Association Of German Engineers.
Beliau berkata, pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah sepanjang tempoh setahun pengajian di Jerman pada awal 2020.
Katanya, ketika itu terpaksa meneruskan pengajian secara dalam talian memandangkan universiti ketika itu ditutup kerana pandemik COVID-19.
“Semua kelas pengajian pula diadakan bahasa Jerman dan agak sukar untuk memahami apa yang diajar oleh pensyarah. Saya terpaksa mengulangi semula rakaman video pensyarah Jerman itu dan membuat terjemahan,” katanya,
Hussein Al-Faiz ditemui pada sesi memperkenalkan penerima anugerah oleh Naib Canselor UMP, Prof Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin sempena Majlis Konvokesyen Ke-16 UMP di Dewan Kompleks Sukan UMP Gambang, di sini, semalam.
Beliau antara 4,082 graduan UMP 2021 yang menerima ijazah dan diploma pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-15. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN