Perjuangan bermula bagi 20,765 calon SPM di Pahang

Perjuangan bermula bagi 20,765 calon SPM di Pahang

Oleh Team Fikrah Pahang  

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN, 22 FEBRUARI 2021: Seramai 20,765 orang pelajar termasuk 675 calon persendirian di seluruh negeri Pahang, menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang berlangsung selama sebulan, bermula pada hari ini hingga 25 Mac depan. 

   Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad bersyukur kerana segala urusan sebelum dan ketika pelajar memasuki dewan peperiksaan berjalan lancar. 

   “Alhamdulillah, semua berjalan dengan lancar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 


   Syed Ibrahim berkata, sebanyak 226 pusat peperiksaan disediakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di seluruh negeri Pahang dengan kekuatan pegawai pemeriksa atau petugas peperiksaan seramai 4,175 orang. 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad

  Menurutnya, tiada calon yang sedang dikuarantin kerana menghidap pandemik COVID-19 menduduki peperiksaan SPM di Pahang, menyebabkan tiada pusat kuarantin peperiksaan SPM dibuka di negeri ini. 

  “Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) kini dijadikan pusat untuk menempatkan calon yang baru sahaja selesai menjalani kuarantin,” katanya. 

   Menurutnya, peperiksaan SPM hari ini bermula dengan subjek Bahasa Melayu dan disusuli dengan pelbagai mata pelajaran lain mengikut pilihan setiap calon. Peperiksaan akan berakhir pada 25 Mac depan. 

   Syed Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau berkata, bagi sekolah-sekolah agama di Pahang, peperiksaan SPM berjalan sama seperti di sekolah persekutuan di mana seramai 1,421 calon mendudukinya di 18 pusat peperiksaan. 

   Menurutnya, lawatan dan pemantauan dikendalikan oleh KPM seperti juga di pusat-pusat lain. Suasana peperiksaan pada hari ini terkawal dan berjalan dengan lancar. 

   “Saya mengucapkan selamat menduduki peperiksaan kepada semua calon SPM di negeri Pahang dan mendoakan agar mereka akan beroleh kejayaan yang dihajati dengan berkat doa daripada ibu bapa dan guru masing-masing,” katanya.