Perjuangan untuk rakyat akan diteruskan

Perjuangan untuk rakyat akan diteruskan

KUANTAN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata pencalonannya bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah amanah.

“Amanah ini berat. Saya tidak menyatakan satu janji yang besar tetapi saya akan usaha sebaik mungkin selesaikan masalah satu per satu.

“Pencalonan ini secara tidak langsung membolehkan calon meneruskan gerak kerja di kawasan masing-masing,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebagai orang lama dan memahami denyut nadi penduduk, beberapa isu berkaitan pemilikan tanah, peserta FELCRA, pendidikan dan kebajikan penduduk akan diutamakan dan diselesaikan secara berperingkat.

“Sebagai contoh, kita sudah berjaya selesaikan isu tanah penduduk termasuk di Kampung Batu Sawar, Kampung Lipat Kajang dan Gunung Senyum.

“Begitu juga ada isu tanah di Kampung Bukit Lada, Kampung Seri Tanjung, Paya Sendayan dan beberapa kampung yang masih dalam proses penyelesaian.

“Kita akan teruskan gerak kerja ini secara lebih agresif untuk membantu selesaikan masalah penduduk.

“Begitu juga isu tanah Felcra yang masih kosong kita akan serahkan kepada penduduk yang layak terutama yang menetap dalam DUN Kerdau dan mengundi di situ,” katanya.

Selain itu, Syed Ibrahim juga berharap Kerdau terpilih sebagai lokasi pembinaan sekolah rendah agama dan tadika tahfiz sebagaimana yang dibentangkan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, dalam belanjawan negeri 2023.

Syed Ibrahim berkata, soal kebajikan adalah antara perkara paling serius perlu diselesaikan kerana kebanyakan penduduk tidak mempunyai pendapatan tetap kerana sumber ekonomi yang terhad.

“Kebajikan penduduk perlu dijaga dan saya akan usaha membantu selesaikan masalah berkaitan dan memberi peluang mereka menjalani kehidupan yang lebih selesa,” katanya