Perkara ini tidak benar, kata Menteri Besar

Perkara ini tidak benar, kata Menteri Besar

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Dakwaan terdapatnya syarikat yang kononnya dilantik Kerajaan Pahang bagi melaksanakan program pemutihan tanah haram di negeri ini seperti yang ditularkan di media sosial adalah tidak benar.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pada masa sama, tiada sebarang perbincangan berhubung program itu pada pertemuan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

“Saya ingin nyatakan bahawa tiada sebarang permohonan bagi program pemutihan tanah haram oleh syarikat terbabit dan saya hanya tahu mengenainya melalui media sosial. Oleh itu, perkara ini tidak benar,” katanya. 

Wan Rosdy mengulas dakwaan terbabit dalam sidang media selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 peringkat Pahang di Stadium Darulmakmur, hari ini.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap syarikat terbabit, beliau berkata, segalanya diserahkan kepada Penasihat Undang-Undang.

Katanya, sekiranya mempunyai asas tidak mustahil kerajaan negeri akan mengambil tindakan.

“Kita juga tidak mahu bertindak terburu-buru dalam melaksanakan sebarang tindakan. Secara rasional, kita tidak mahu tindakan penguatkuasaan dibuat sewenang-wenangnya.

“Kena lihat kesahihannya kerana bimbang sengaja dicipta atau ada tujuan lain kita tak tahu. Jika ada program pemutihan, ia akan dibawa kepada kerajaan negeri dan kita akan membuat keputusan. Ia bukan keputusan individu,” katanya.

Difahamkan, program pemutihan tanah haram berkenaan didakwa untuk membantu kerajaan negeri mengawal aktiviti penerokaan tanah kerajaan secara haram.

tamat